SALUT TAN SRI ARIFF! – Sebuah catatan peribadi oleh Zunar
PEMECATAN Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff bin Md Yusof merupakan episod terburuk dalam sejarah demokrasi berparlimen di negara ini. Ini kerana Mohamad Ariff adalah seorang yang independen dan watak begini sangat diperlukan negara.
Beliau adalah seorang yang tegas berpegang kepada peraturan serta menjunjung tinggi undang-undang dan perlembagaan. Selama sepuluh tahun terakhir BN, saya sentiasa berhadapan dengan undang-undang hasutan dan Mohamad Ariff adalah hakim ketika itu. Untuk rekod, sebelum dilantik sebagai Speaker beliau pernah menjadi Hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, sehingga bersara pada tahun 2015.
Kita semua maklum, selepas pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas oleh Tun Mahathir pada tahun 1988, bidang perundangan di Malaysia telah menjadi lemah dan dimandulkan. Sejak itu amat sukar bagi kita untuk menemui hakim-hakim yang independen, sebaliknya ramai hakim yang ada cenderung membuat keputusan mengikut selera pemerintah. Ini jelas boleh dilihat dalam kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan kes-kes politik lainnya.
Kerajaan BN terutama di period 2010 hingga 2016 menekan keras kegiatan seni saya. Enam undang-undang digunakan untuk mengekang karya-karya kartun saya. Saya juga telah beberapa kali ditangkap dan buku-buku kartun saya diharamkan.
Ketika buku “1 Funny Malaysia” dan “Perak Darul Kartun” diharamkan pada tahun 2011, saya mencabarnya dengan membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi. Keputusannya, saya kalah dan mahkamah menyatakan pihak KDN dan kerajaan Malaysia bertindak betul dengan mengharamkan buku-buku tersebut. (seperti sangkaan saya)
Tetapi saya terus membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan. Tindakan ini dibuat hanya sekadar untuk memberi kesedaran kepada rakyat betapa kebebasan suara kartunis terancam. Saya tidak pernah menaruh sebarang harapan untuk menang kerana menyedari tidak ramai hakim-hakim yang berani mempertahankan undang-undang dalam sebuah rejim zalim. Tanpa disangka, Mohamad Ariff bersama dua lagi hakim Mahkamah Rayuan dalam keputusannya mengarahkan kerajaan menarik balik pengharaman buku saya dan polis juga diarahkan memulangkan buku-buku dan lukisan saya yang dirampas. Dalam hati saya berkata, “Waah, masih ada hakim yang independen dan berani mempertahan keluruhan undang-undang!” Pengalaman saya bersama Mohamad Ariff tidak berakhir di situ. Dalam kes lain, ketika mencabar penangkapan saya di bawah Akta Hasutan, ceritanya hampir sama. Pada mulanya, saya kalah di Mahkamah Tinggi dan diteruskan dengan merayu. Dan di peringkat Mahkamah Rayuan, Mohamad Ariff juga yang mengambil kes tersebut. Dalam keputusan, Mohamad Ariff bersama dua hakim lain menolak cabaran saya dan menyatakan pihak polis berhak menangkap saya dari segi undang-undang atas alasan mensyaki dan bertujuan untuk menyiasat. Jelas sekali, dalam satu kes beliau menyalahkan kerajaan dan dalam kes yang lain, beliau memenangkan kerajaan – semuanya tergantung kehendak undang-undang.
Itulah ciri-ciri hakim yang bagus – sentiasa memihak kepada keluhuran undang-undang. Dalam hati saya berkata, hakim sebagus ini patut diberi pengiktirafan dan wajar dilantik sebagai Ketua Hakim Negara agar maruah badan kehakiman dapat dipulihkan semula.
Tetapi ini tidak mungkin berlaku dalam rejim ini. Tepat sekali, jawatan tertinggi yang disandang Mohamad Ariff sebelum bersara ialah Hakim Mahkamah Rayuan.
Sepanjang mengendali Parlimen sama ada dalam kerajaan PH atau PN, Mohamad Ariff tetap menunjukkan peribadi sebagai seorang yang tidak bias atau berat sebelah. Tindakan-tindakannya tidak menyebelahi kerajaan atau opposisi, sebaliknya sentiasa menyebelahi undang-undang. Malang sekali orang sebagus ini dianggap persona non grata (atau orang yang tidak dikenedaki) oleh PN.
Nampaknya seperti juga hakim independen tidak kehendaki BN, Speaker independen juga tidak dikehendaki PN. Biar begitu, Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff, nama anda tetap harum dan peribadi anda disanjung tinggi. Biar dipecat, anda tetapi berjalan tegak. Sebuah tabik spring saya berikan.
Zunar Kartunis
16 Julai 2020
Related Posts
Leave a Reply Cancel reply
Categories
- #kartunzunar (4)
- Activities (84)
- Animations (22)
- Courts & Charges (70)
- News (199)
- Statements (95)
Buy My Merchandise
-
Politik Caca Marba - Kartun2 Era PN
Rated 4.00 out of 5RM30.00
- Hello Mr. Peng Khia Nutt [Digital Book] RM10.00
-
Zunar Cartoon Bundle Pack
RM180.00Original price was: RM180.00.RM90.00Current price is: RM90.00. - Kartun Anti Racism (KAR) RM30.00
- [Even My Pen Has A Stand] Black Short Sleeve T-Shirt by Zunar RM30.00
- [Even My Pen Has A Stand] White Short Sleeve T-Shirt by Zunar RM30.00