Kentucky Poster“Berjuang Melalui Kartun” Jelajah Amerika

Saya dengan ini mengumumkan program “Berjuang Melalui Kartun” Jelajah Amerika bermula 22 Januari hingga 1

Februari 2014. Acara utama ialah di Kentucky. Saya akan memberi ucaptama di “Syarahan Tahunan mengenai Demokrasi Asia” di University of  Louisville. Acara berlangsung pada 22 Januari, Rabu, 7 petang di Brown & Williamson Club di Papa John’s Stadium.

Saya akan mendedahkan cabaran yang dihadapi oleh saya sebagai kartunis politik di negara penindasan seperti di  Malaysia. Mereka akan diberitahu mengenai penahanan saya di bawah Akta Hasutan, pengharaman buku-buku komik saya, dan tekanan ke atas pencetak dan pekedai.

Saya juga akan menyentuh mengenai isu-isu penting seperti kekangan terhadap hak asasi di Malaysia, begitu juga isu-isu penting seperti pembunuhan Altantuya, skandal Scorpene, konspirasi terhadap Anwar Ibrahim, isu rasuah dan kontroversi isu nama Allah.

Menurut maklumat dari pihak universiti, saya adalah orang ketiga dipilih untuk menyampaikan ucapan di acara tahunan ini. Pemidato sebelum ini ialah aktivis Hak Asasi China yang dipenjara 18 tahun, Harry Wu (2013) dan bekas Duta Amerika ke Burma, Derek James Mitchell (2012).

Di samping itu, saya juga akan mengendalikan beberapa kelas melukis kartun untuk pelajar-pelajar seni dan media universiti tersebut.  Pameran solo kartun saya juga akan diadakan di situ. Pameran saya sebelum ini ialah di Bilbao (Sepanyol), London dan Shah Alam, Selangor

Bagi saya, pengiktirafan yang diberikan oleh University of  Louisville merupakan penyuntik semangat kepada saya untuk melipatgandakan agenda “Berjuang Melalui Kartun”. Perlu dicatitkan bahawa saya tidak dibenarkan memberi syarahan di universiti di Malaysia!

KENYATAAN Pengarah Pusat Demokrasi Asia, University of  Louisville Dr Jason P. Abbott.

Syarahan Tahunan Pusat Demokrasi Asia disampaikan setiap tahun oleh individu yang terlibat secara langsung dalam perjuangan demokrasi, yang mempromosi reformasi politik di Asia. Tahun ini ia akan disampaikan oleh kartunis politik Malaysia, Zunar.

Dakwaan Akta Hasutan yang dikenakan oleh kerajaan Malaysia terhadap Zunar, menggambarkan penggunaan undang-undang yang mencengkam untuk mengekang kebebasan oleh kerajaan Malaysia. Ia juga menunjukkan bahawa perjuangan menegakkan kebebasan bersuara tidak hanya diperjuangkan oleh para aktivis, tetapi juga oleh artis, pelawak dan kartunis.

http://louisville.edu/asiandemocracy

Destinasi seterusnya ialah Washington DC di mana saya akan mengadakan sesi dialog dan promosi buku di sebuah gedung buku terkenal, Busboys and Poets. Saya akan memfokus tema yang sama, “Berjuang Melalui Kartun” dan memberi respon terhadap soalan-soalan dari warga tempatan dan Malaysia. Acara ialah pada 29 Januari, dari 7 ptg – 9 mlm.  Saya akan mempromosi buku terbaru saya, “The Pirate of the Carry-BN”. Ini adalah promosi buku pertama saya di kedai buku dan anehnya ia berlangsung di luar Malaysia!